Kaji Semula Premium Baru Pembalakan: Pengerusi KPMNJ

KAJI SEMULA PREMIUM BARU PEMBALAKAN -
Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan
(Pengerusi Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor
@ Pengarah Kayu Utama sdn. Bhd.)


Petikan daripada Harian Metro bertarikh 26 Januari 2010, muka surat 2:
Johor Bahru: Kerajaan negeri dirayu mengkaji semula kadar bayaran premium pembalakan yang dikenakan bagi setiap kawasan pembalakan kuota bumiputera di negeri ini yang dianggap terlalu tinggi hingga membebankan pengilang papan bumiputera untuk meneruskan operasi mereka.
Sebilangan besar pengilang papan bumiputera di negeri ini mendakwa akan gulung tikar seandainya kadar premium baru yang dikenakan ketika ini tidak dikaji semula dan sekaligus menjejaskan industri perkayuan negara.
Pengerusi Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor (KPMNJ), Prof. Datuk Mohamad Ali Hasan (gambar), berkata kadar bayaran baru premium dikenakan bagi 0.4 hektar kawasan pembalakan kepada pengilang kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 bermula tahun lalu berbanding RM4,000 tiga tahun sebelumnya.
Menurutnya kadar premium baru itu amat membebankan pengilang kayu bumiputera yang terpaksa memperuntukan sejumlah besar kewangan mereka bagi membayar premium baru itu.
Beliau berkata selain dibebankan dengan bayaran premium baru, pengilang papan bumiputera juga perlu membayar cukai perkayuan kepada kerajaan setiap tahun selain pelbagai bayaran lain.
"Kadar ini amat membebankan pengilang papan bumiputera yang terpaksa memperuntukan kewangan lebih besar untuk membayar premium baru yang ditetapkan oleh kerajaan".
"Oleh itu, kami merayu kerajaan negeri mengkaji semula," katanya ketika mengadakan perjumpaan dengan Pengilang Papan Bumuiputera Negeri Johor, di sini, kelmarin.
Mohamad Ali yang juga Ahli Lembaga Pengarah Tetuan Kayu Utama Sdn. Bhd., syarikat pembalakan yang juga anak syarikat milikan penuh KPMNJ, berkata sebilangan besar pengilang papan bumiputera negeri ini mencadangkan satu perjumpaan segera dengan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Menurutnya satu memorandum akan dihantar kepada Menteri Besar bagi menyatakan permasalahan dihadapi sebilangan besar pengilang papan bumiputera selain cadangan dikemukakan bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.
"Harapan kami semua pengilang papan bumiputera di negeri ini mampu meneruskan operasi seperti sebelumnya," katanya.
(Gambar di atas yang dipaparkan berlainan dengan gambar yang tertera dalam berita Harian Metro di atas)

No comments:

Post a Comment